Header Ads

Pahang dan Kedah rebut tangga kedua Liga Super


BIARPUN gelaran juara Liga Super telahpun dimiliki oleh pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) buat kali keempat berturut-turut malam tadi, namun ia tidak melemahkan semangat pasukan Pahang dan Kedah bersaing untuk menghuni tangga kedua liga berkenaan.

Penolong Ketua Jurulatih Pahang Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata, pemain Pahang telah diingatkan untuk bertarung habis-habisan bagi mengutip mata penuh untuk setiap baki perlawanan.

“Kita akan cuba memberi tekanan kepada pasukan Kedah bagi mendapatkan tempat yang terbaik dalam baki tiga perlawanan Liga Super,” katanya kepada pemberita selepas berjaya menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan malam tadi, katanya skuad Tok Gajah dilihat berjaya mendominasi permainan walaupun tidak selancar yang diinginkan.

Katanya, banyak peluang yang terhidang tidak dapat disempurnakan dengan baik.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nizam Adzha Yusoff berkata skuad Helang Merah dilihat keletihan selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat sejak bulan lepas.

“Saya lihat selepas perlawanan kesembilan sejak bulan lepas, pemain kelihatan tidak ​​​​​cergas dan tidak berupaya untuk mempersembahkan prestasi yang lebih baik.

“Apapun tahniah kepada pemain-pemain…sedikit kesilapan pertahanan menyebabkan kita tewas dengan Pahang bagaimanapun pada keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan komitmen dan prestasi pemain,” katanya.

Mohd Nizam berkata, baki tiga perlawanan dengan dua di gelanggang sendiri dan satu di tempat lawan akan diharungi sebaik mungkin untuk mengekalkan kedudukan di tangga kedua keseluruhan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.